Berita SemasaSukan

Euro 2024: Murat yakin Switzerland mampu singkirkan England

DUESSELDORF – Setelah menggagalkan rekod sempurna oleh tuan rumah Jerman dan berjaya menundukkan juara bertahan Itali, Switzerland kini berada dalam landasan terbaik untuk menyingkirkan England di Euro 2024 pada awal pagi Ahad ini.

Jurulatih Switzerland, Murat Yakin berkata, beliau menyuntik semangat juang kepada pemain-pemainnya dan meyakini kebolehan mereka untuk menewaskan England di pusingan suku akhir Euro 2024.

“Aksi kami menentang Jerman sangat bagus, kami bermain menentang Itali, juga pasukan besar dan mengapa kami tidak boleh menewaskan England?

“Kami berada dalam mood yang baik sekarang. Ia satu cabaran yang bagus dan pasukan saya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan besar ini menentang England,” kata Yakin.

Beliau menegaskan England memiliki ramai pemain bintang yang mampu membuat perubahan dalam perlawanan.

“Akan tetapi mereka harus bersedia untuk pertempuran mencabar dengan Switzerland yang memiliki semangat juang tinggi,” tambahnya.

Yakin pernah berada dalam situasi jurulatih England, Gareth Southgate, apabila dia dikritik kerana taktikal dan prestasi buruknya semasa kempen kelayakan.

Namun, nasibnya telah berubah pada Euro 2024 apabila Yakin dipuji susulan perubahan taktikal pemilihan pasukan selain gabungan pertahanan dan serangan yang berkesan.

“Sudah tentu, apabila anda mempunyai pemain yang bagus dan menyingkirkan beberapa pemain sehingga tidak mendapat keputusan baik akan menjadi masalah besar.

“Saya pernah merasainya tahun lepas, tetapi apa yang penting hanya fokus pada permainan bola sepak, bukan apa yang kita baca di akhbar. Itu sahaja yang boleh kita lakukan sebagai jurulatih,” tambahnya.

Switzerland kini bersiap sedia untuk menghadapi cabaran besar menentang England dengan harapan dapat meneruskan rentak cemerlang mereka di Euro 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button