Berita SemasaSukan

Esukan diperkenal kepada Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR – Mini EsportsCon anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) telah menghimpunkan pemegang taruh esukan dalam kalangan penerbit permainan tempatan dan antarabangsa di Parlimen Malaysia.

Acara dianjurkan bagi meraikan industri esukan yang pesat berkembang di samping menyediakan ruang libat urus antara pemain industri dan ahli-ahli dewan rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mengucapkan, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli parlimen yang hadir dan warga parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon.

“Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh.

“Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap esukan yang semakin berkembang,” katanya ketika sesi walkabout ke Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen hari ini.

Penganjuran acara ini turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios.

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan sesi demonstrasi permainan yang menawarkan pengalaman secara terus dengan pelbagai judul permainan.

Acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025.

MESF turut mengetengahkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri khusus para pemain.

Show More

Related Articles

Back to top button