Ops Zapin: LHDN periksa 73 premis di Johor
CYBERJAYA – Sebanyak 73 buah premis perniagaan di sekitar Johor diperiksa dalam Operasi Pematuhan Cukai (Ops Zapin) yang diadakan semalam.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan, operasi itu turut dijalankan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
“Operasi ini memfokuskan beberapa industri utama seperti hartanah dan pembinaan, kejuruteraan kapal, pembuatan dan jualan tekstil, sektor pendidikan, penyediaan perkhidmatan profesional, pembuatan dan pemprosesan, pengilangan, perubatan dan pertanian,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian operasi itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli.
Dalam pada itu Hisham berkata, operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan cukai yang tinggi dalam kalangan pembayar cukai.
Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perniagaan untuk melaporkan pendapatan mengikut undang-undangpercukaian yang telah ditetapkan.
Sementara itu, menurut kenyataan itu, pembayar cukai juga boleh tampil ke pejabat LHDN berdekatan dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat atau terdapat keraguan terhadap pelaporan yang dibuat sebelum ini.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan pelarian cukai terhadap individu atau syarikat yang dikenal pasti menerusi Sistem e-Pelarian Cukai di https://epelariancukai.hasil.gov.my/.
“Pelaksanaan operasi ini diharap dapat meningkatkan literasi cukai dan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat seterusnya megurangkan ketirisan cukai ke arah kelestarian kutipan hasil negara,” ujarnya.