Berita Semasa

Muhd Khair Razman mulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha KKDW

PUTRAJAYA – Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dengan rasminya memulakan tugasnya Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang baharu, hari ini.

Beliau terlebih dahulu mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Muhd Khair kemudiannya tiba di Kementerian dengan disambut Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), Mohd Kamal Husin, pegawai pengurusan kanan dan kakitangan KKDW.

Sebagai simbolik, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) YBrs. Encik Mohd Kamal bin Husin telah menyerahkan pas kerja kepada Datuk Muhd Khair Razman yang melakukan sesi ketikan pertama pada perakam waktu (clock-in) di Lobi KKDW, Putrajaya.

Muhd Khair,58, dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Ramlan Harun yang bersara wajib pada 30 Mei 2024.

“Pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau akan dapat memperkasakan Kementerian dalam memacu perubahan dan kemajuan pembangunan masyarakat desa berteraskan Aspirasi Desa Madani.

“Pada masa yang sama, Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaaan kepada mantan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam memimpin Kementerian sebelum ini,” kata KKDW dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang Antarabangsa) dari Southampton University di United Kingdom (UK), Muhd Khair memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Luar Negeri pada 1994.

Sebelum dilantik ke KKDW, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau turut pernah berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah, Pulau Pinang; Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri / Kementerian Dalam Negeri (KDN); Pejabat Timbalan Perdana Menteri; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Perpaduan; dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Show More

Related Articles

Back to top button