Berita Semasa

Kerusi Stadium Shah Alam akan diberi percuma kepada pejabat daerah, PBT

SHAH ALAM – Kerusi Stadium Shah Alam yang masih boleh digunakan akan ditawarkan secara percuma kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah di negeri ini.

Menurut Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, kerusi itu kemudiannya boleh dipasang di stadium daerah atau di astaka di padang daerah.

“Ada yang bertanya (semasa) kerja perobohan Stadium Shah Alam, apa jadi dengan kerusi di stadium ini?

“Kesemua kerusi ini akan ‘dismantle’ dan diasingkan mana yang rosak, akan dilupuskan, manakala kerusi elok akan disimpan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mencadangkan kerusi itu ditawarkan untuk dipasang di sekolah terutama yang mempunyai astaka di negeri ini.

Terdapat 86,000 kerusi di stadium itu dan kerja-kerja pembukaan bumbung akan dijalankan selepas semua kerusi berkenaan selesai dibuka.

Proses perobohan Stadium Shah Alam yang bermula kelmarin dijangka mengambil masa setahun menggunakan dua jentera jenis hidraulik breaker iaitu kaedah konvensional tanpa bahan letupan bagi mengelak gangguan bunyi, habuk dan air terhadap penduduk.

MBI menjangkakan, bumbung bangunan mula dibuka penghujung bulan ini atau awal Ogos.

Sebelum ini, MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dan dijangka selesai pada Disember 2026.

Bagi fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.

Kerja-kerja fasa terakhir pula membabitkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.

Show More

Related Articles

Back to top button