Tawar matrikulasi untuk semua 10A SPM adalah langkah lebih adil, munasabah – PM
PUTRAJAYA – Keputusan Kabinet yang memberi jaminan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas untuk diberi tempat di mana-mana Matrikulasi seluruh negara dilihat sebagai jalan yang lebih adil dan munasabah.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah tersebut akan memberi ruang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia yang cemerlang berdasarkan merit tanpa mengira kaum dan wilayah.
“Kerajaan turut memutuskan bahawa kuota Bumiputera yang menjadi sebahagian daripada prinsip Perlembagaan menerusi Perkara 153, perlu dikekalkan bagi mengelak kesenjangan serta menjamin masa depan orang Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, perkara ini perlu difahami sesetengah kelompok elit kota yang lantang bicara soal meritokrasi.
Soal Anwar, adakah adil untuk membiarkan pelajar di Manik Urai atau di Kapit di luar bandar, untuk bersaing dengan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling yang lengkap dengan prasaran terbaik?
“Sekiranya meritokrasi dilaksanakan secara melulu, maka golongan yang miskin dan terpinggir akan kekal dalam keadaan sedemikian. Inilah yang dikatakan sebagai ‘The Tyranny of Merit’ seperti dihujahkan sarjana Amerika, Michael Sandel.
“Kerana itu Kerajaan hari ini yang mengangkat gagasan Madani harus lebih prihatin terhadap mereka yang tersisih, terbiar dan terpinggir,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri menegaskan, meritokrasi perlu dipertahankan bagi memberi lebih peluang dan galakan kepada yang terpintar dan terbaik untuk memastikan Malaysia maju ke hadapan, tetapi jangan sesekali melupakan mereka yang miskin dan terpinggir.