Euro 2024: England cemas sebelum tewaskan Slovakia
GALSENKIRCHEN – England yang turun dengan barisan bintang hampir dimalukan sebelum jaringan minit akhir Jude Bellingham menjadi pencetus kepada kebangkitan pasukan The Three Lions itu untuk menyingkirkan cabaran Slovakia 2-1 di Arena AufSchalke di sini, sebentar tadi.
Pasukan The Three Lions ketinggalan kepada Slovakia selepas Ivan Schranz menewaskan Jordan Pickford pada minit ke-25.
Phil Foden hampir menyamakan kedudukan buat skuad The Three Lions pada awal separuh masa kedua tetapi Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi penghalang selepas dia jelas berada dalam kedudukan ofsaid.
Peluang terbaik anak buah Gareth Southgate hadir pada minit ke-80 apabila sepakan Declan Rice sekadar menerjah palang gol dan gagal disambar kemas oleh Harry Kane.
Ketika aksi masih berbaki seminit, jaringan Bellingham pada minit kecederaan ke-95 menerusi sepakan gunting memastikan perlawanan terikat 1-1 dan membawa aksi kalah mati ke masa tambahan.
Tidak sampai seminit masa tambahan, tandukan Harry Kane memastikan peluang England melangkah ke pusingan suku akhir semakin terbuka sekali gus mendahului Slovakia 2-1 untuk pertama kali.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat sekali gus membawa cabaran England melangkah ke pusingan seterusnya.
Switzerland dijadual menanti anak buah Gareth Southgate dalam saingan suku akhir Euro 2024 yang akan berlangsung Ahad nanti.