Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pemandu bas terbabas di Genting Highlands tiada lesen, ada 27 rekod saman

BENTONG – Pemandu bas yang terbabas sehingga mengorbankan dua penumpang di kilometer 16.5 (KM) Genting Highlands di sini pagi semalam didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak polis mendapati lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai 27 rekod saman atas pelbagai kesalahan.

“Kita sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapat rawatan.

“Pada masa ini, pemandu yang mengalami kecederaan akibat kemalangan itu sedang dirawat di hospital,” katanya kepada pemberita semalam.

Zaiham berkata, dalam kejadian sekitar pukul 10.35 pagi semalam, bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Km 16.5, jalan turun Genting Highlands.

“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China yang dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“13 mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button