Berita Semasa

Faisal Halim kembali berlatih ringan, kesembuhan hampir 95 peratus

NIBONG TEBAL – Pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim sudah mula melakukan senaman ringan sambil meneruskan sesi fisioterapi, menurut bapanya Abdul Halim Saad.

Abdul Halim berkata, beliau menzahirkan rasa syukur atas sokongan penuh daripada pihak pengurusan Selangor FC, rakan-rakan serta keluarga yang menjadi sumber kekuatan bagi Faisal untuk pulih.

“Terima kasih kepada pengurusan Selangor FC yang memberikan perhatian sepenuhnya kepada dia. Mental dia kuat sebab jiwa dia, jiwa bola… dia pun sudah tak fikir benda lain dan hanya mahu kembali bermain bola,” katanya kepada pengamal media.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Klinik Bola Sepak Madani di Padang Awam Jawi, hari ini.

Katanya, anaknya itu menunjukkan perkembangan positif setiap hari dengan tahap kesembuhan kini mencapai hampir 95 peratus.

Faisal dan ahli keluarganya juga telah reda dengan insiden yang menimpa beliau dan tidak mahu lagi memikirkan perkara yang telah berlaku.

Terdahulu insiden pada 5 Mei lalu, Faisal melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor.

Pada 25 Mei, Selangor FC mengesahkan bahawa Faisal dibenarkan keluar dari hospital swasta selepas menjalani empat pembedahan.

Show More

Related Articles

Back to top button