Dhabitah Sabri isi slot tambahan ke Sukan Olimpik Paris 2024
KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai slot tambahan ke Sukan Olimpik Paris 2024, telah terjawab apabila Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengumumkan penyertaan Nur Dhabitah Sabri sebagai atlet ke-25 mewakili Malaysia ke arena sukan terbesar itu.
Pengarah Teknikal Terjun MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, beliau berharap akan ada lagi pertambahan slot bagi beberapa acara lain, memberikan lebih banyak peluang kepada atlet-atlet negara untuk bersinar di pentas dunia.
“Kita mendapat emel daripada Akuatik Dunia mengenai khabar berita itu dan kami menyenaraikan penerjun berusia 24 tahun itu untuk mewakili Malaysia,” katanya kepada pengamal media.
Terdahulu, MAS mendedahkan penerjun berusia 26 tahun itu sudah membuat persiapan awal walaupun gagal memperoleh tiket merit dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, pada Februari lalu.
Dhabitah akan bersaing dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini berjaya mendapatkan slot tersebut yang diberikan oleh Akuatik Dunia.
Dengan penyertaan Dhabitah, kini Bertrand Rhodict Lises yang akan beraksi dalam acara 10m platform lelaki tidak lagi berseorangan mewakili Malaysia dalam sukan terjun di Olimpik.