‘Lepas ini suruh sultan tulis surat murka saja senang’ – TMJ
KUALA LUMPUR – Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik tindakan pengelola Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang melakukan ‘U-Turn’ terhadap hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC.
Secara sinis baginda bertitah, selepas ini jika terdapat pasukan yang melanggar undang-undang bola sepak, mereka hanya perlu memohon kepada sultan masing-masing untuk mengeluarkan surat.
“Lepas ini yang mana kelab tak bayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang undang Liga, suruh sultan tulis surat murka saja senang.
“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa tuanku sultan masing-masing keluarkan surat.
“Ini akan start satu precedent di mana selepas ini tuanku sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tak boleh,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, pasukan miliknya sejak 2013 telah didenda beratus ribu malah baginda sendiri pernah dihukum selama enam bulan.
“JDT dari 2013 kena denda beratus ribu, saya kena banned enam bulan, tak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan.
“Ini siap mengungkit beri pingat datuk. MFL buat U- Turn tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam. MFL baik puji MFL sekarang. Ladies and gentlemen, I present to you The real Tokong of Malaysian football,” titah baginda.
Semalam MFL meringankan hukuman terhadap Selangor FC selepas Sultan Selangor murka terhadap hukuman awal yang dikenakan terhadap pasukan itu kerana menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih.