Berita SemasaSukan

Selangor FC pertimbang rayuan keputusan baharu MFL

SHAH ALAM – Selangor FC hari ini memaklumkan pihak kelab sedang merancang untuk memfailkan rayuan rasmi kepada MFL dalam masa terdekat berhubung keputusan terkini yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Football League (MFL) mengenai ketidakhadiran ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

Dalam kenyataan tersebut, Selangor FC menegaskan rayuan akan dibuat berdasarkan keputusan yang telah dipertimbangkan semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, mengikut peraturan-peraturan yang berkaitan.

“Kami sedang meneliti segala aspek yang berkaitan dengan keputusan ini dan akan memfailkan rayuan yang sewajarnya.

“Kami berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan akan memastikan bahawa segala proses dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” kata jurucakap Selangor FC.

Selangor FC berharap agar rayuan yang bakal difailkan akan dipertimbangkan secara adil oleh pihak MFL dan mengharapkan keputusan yang terbaik bagi semua pihak yang terlibat.

Terdahulu, Selangor FC dihukum oleh MFL berhubung ketidakhadiran ke Perlawanan Sumbangsih dan aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

Susulan itu, pihak MFL memberi peluang kedua buat Selangor FC untuk mengemukakan rayuan berkenaan hukuman yang dikenakan itu selepas keputusan yang dibuat MFL mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj juga murka dan amat berdukacita terhadap keputusan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman ketidakhadiran Selangor FC.

Lantaran itu, pihak MFL baru-baru ini meringankan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC selepas pertimbangan semula dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Show More

Related Articles

Back to top button