Berita Semasa

Operasi SAR anggota tentera hilang di perbatasan Malaysia-Brunei giat dijalankan

BINTULU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu masih giat dijalankan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi SAR telah memasuki hari ke-10 dan pencarian masih diteruskan sehingga hari ini dengan menggunakan kaedah pencarian dari udara dan darat di sekitar kawasan Ulu Mendalam di Limbang, Sarawak.

Katanya, antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM serta dipergiatkan lagi dengan bantuan unit Anjing Pengesan K9 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pencarian turut dibantu oleh anggota dari
Combat Air Rescue TUDM, Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dan anggota JUPEM yang sedang melaksanakan Op UKUR.

“Manakala di sektor Brunei Darussalam, pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian,” katanya.

Dalam pada itu, pihak TDM kekal komited dan konsisten dalam operasi ini dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

“Kerjasama masyarakat juga diharapkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian,” katanya lagi.

Muhammad Syafiq gagal dikesan pada 18 Jun pada jam 12 tengah hari, ketika ketua kumpulan mendapati anggota tersebut hilang dari posisi belakang kumpulan dalam Op Ukur.

Sebagai rekod, Op UKUR merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.

Op tersebut melibatkan anggota TDM sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong ke Bebuloh, Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September depan.

Show More

Related Articles

Back to top button