Olimpik Paris: Bukan baju diperkenalkan MOM, kontinjen Malaysia pakai baju lain pada acara perbarisan
KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia tidak akan menggunakan pakaian yang diperkenalkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini pada perbarisan Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, terdapat set pakaian rasmi lain bagi acara itu yang akan membuka tirai pada 26 Julai ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya tiada perbandingan dibuat berkaitan pendekatan kepimpinannya dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Masa zaman beliau (Khairy) itu cara beliau dan setiap pemimpin mempunyai cara berlainan. Saya hormati MOM sebagai pemegang taruh. Baca komen (ada) ingatkan ini baju perbarisan (namun sebenarnya) sudah ada (lain) untuk atlet. Kami dah maklumkan pandangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada (Presiden MOM) Mohamad Norza.
“Kita perlu hormati MOM dan kontrak penajaan mereka dengan Yonex dan saya serahkan ini kepada Mohamad Norza dan percaya beliau mampu untuk selesaikan (supaya) bila ke Paris kita berjalan (sebagai) satu pasukan (dan) orang tak nampak ini MOM, ini KBS (sebab) kita semua bawa nama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini hari ini.
Khairy berkongsi menerusi audio siar (podcast) bersama Shahril Hamdan berhubung peranannya dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, semalam.
Dalam pada itu, Hannah turut menegaskan tiada keperluan menaikkan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Nicol Ann David kepada CDM Malaysia ke temasya tersebut.
Jelas beliau, ini kerana jawatan itu kini dipegang oleh Datuk Hamidin Mohd Amin yang merupakan seorang yang berkaliber dalam kepimpinannya.
“Komen media sosial, kalau ada satu masalah, cara dan cadangan gugurkan orang tersebut ini bukan cara betul, sebenarnya kena kenal pasti punca masalah tersebut, dalam kes ini bukan punca Hamidin. Bagi saya Hamidin mendengar (setiap masalah dihadapi) dan itu penting,” ujarnya.