Berita SemasaSukan

Selangor dapat peluang kedua buat rayuan kepada MFL

PUTRAJAYA – Peluang kedua diberikan buat Selangor untuk mengemukakan rayuan berkenaan hukuman yang dikenakan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihak Selangor boleh mengemukakan rayuan atas denda yang dikenakan untuk diteliti oleh badan rayuan dan dipertimbangkan semula jika perlu.

“Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat. Jika daripada empat perkara tersebut ada yang perlu dipertimbangkan semula, maka ia boleh diambil oleh badan rayuan,” katanya dalam sidang media.

Beliau menambah bahawa tempoh maksimum empat hari diberikan untuk Selangor mengemukakan rayuan sebelum dokumen diteliti dan badan rayuan akan bersidang, yang memakan masa hampir sebulan.

“Pasukan Selangor mempunyai tiga atau empat hari untuk mengemukakan surat rayuan, dan selepas itu badan akan meneliti dokumen yang relevan dan akan bersidang mungkin dua hingga empat minggu,” tambahnya.

Selangor yang kini berada di tangga kedua Liga Super dengan mengutip sembilan mata, bakal jatuh ke tangga keempat dengan enam mata setelah hukuman pemotongan mata diambil kira.

Terdahulu, petang semalam pihak MFL telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC atas keputusan menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada bulan lalu.

Empat hukuman dikenakan, termasuk larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ke-14 liga akan datang, selain denda berupa wang dan pemotongan mata.

Perkara menjadi hangat di media sosial apabila warga bola sepak tempatan banyak menyatakan ketidakpuasan hati dan menuntut keadilan terhadap insiden yang menimpa pemain kebangsaan Faisal Halim.

Susulan itu, Selangor FC memuat naik satu kenyataan balas malam tadi bagi memberi respon terhadap hukuman berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button