Kemurkaan Sultan Selangor gambaran kemarahan, kekecewaan peminat bola sepak – MB Selangor
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah gambaran kemarahan dan kekecewaan peminat bola sepak terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Amirudin berkata, keputusan MFL berhubung isu itu sebagai tindakan yang tidak terjangkau oleh akal dan seolah-olah tidak mempunyai sifat kemanusiaan, timbang rasa dan melampaui batas.
Sedangkan katanya, dalam insiden menimpa Faisal Halim, MFL sepatutnya memainkan peranan untuk mengangkat keadilan menentang keganasan dan bersifat empati.
“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap Faisal Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanahair.
“MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui kenyataan itu, Amirudin menjunjung titah Sultan Selangor yang murka terhadap keputusan MFL apabila mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, bayaran pampasan kerugian tuan rumah, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton.
Sultan Sharafudin hari ini juga menzahirkan rasa terkejut kerana Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013, tidak menunjukkan kesungguhan dalam mempertahankan Selangor FC.
Susulan itu, kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama dan memberi peluang kepada semua pihak termasuk peminat Merah Kuning untuk mengumpul dana bagi membayar denda yang dikenakan.