Sukan

ADUN Sungai Air Tawar pula mahu bantu Selangor FC bayar denda MFL

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail memaklumkan akan menyumbang separuh daripada gajinya pada bulan hadapan kepada Selangor FC (SFC).

Sumbangan tersebut adalah bagi meringankan beban skuad Gergasi Merah itu membayar denda yang dikenakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurut Rizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, solidariti tersebut bukanlah satu sandiwara politik, sebaliknya ia adalah manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan SFC.

“Saya berharap penyokong dapat terus memberi sokongan teguh kepada SFC agar semua pemainnya bersemangat mendepani cabaran ini. Semoga Gergasi Merah akan kekal unggul dalam bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, penyanyi rap terkenal merangkap ADUN Lembah Jaya, Altimet dan ADUN Kota Damansara, Izuan Kasim turut menyatakan hasrat yang sama membantu SFC.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap SFC susulan ketidakhadiran SFC dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 Mei lalu.

Hukuman tersebut termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Lebih buruk, skuad Gergasi Merah itu turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super musim ini membabitkan SFC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.

Show More

Related Articles

Back to top button