Sarawak sedia jadi tuan rumah sukan SEA 2027 dengan syarat upacara pembukaan di Kuching
KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan negeri Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027, laporan Astro Arena.
Beliau berkata, dengan syarat upacara pembukaannya perlu diadakan di Kuching serta beberapa acara sukan juga perlu diadakan di Sarawak.
“Selepas Sukma ini, kita telah dirisik lagi oleh Kerajaan Persekutuan. Seperti yang kita tahu, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027. Kalau Malaysia menolak, malu juga Malaysia kerana selepas Vietnam, giliran Malaysia menjadi tuan rumah,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) di Kuching hari ini.
Beliau menambah bahawa kos untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah tinggi dan Kerajaan Persekutuan mahu bekerjasama dengan Sarawak untuk menampung kos tersebut.
“Kerana bajetnya tinggi untuk menjadi tuan rumah, mereka mahu bertunang dengan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama dengan Kerajaan Persekutuan. Tetapi hantarannya perlu betul, iaitu dengan syarat sebahagian daripada acaranya perlu diadakan di Sarawak dan upacara pembukaannya juga di Sarawak dan biarlah upacara penutupnya di Putrajaya,” katanya.
Sebagai rekod, Sukma Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.
Katanya, pengumuman tersebut disambut baik oleh para atlet dan rakyat Sarawak yang melihatnya sebagai peluang untuk mempromosikan negeri di mata dunia.
Sarawak bukan sahaja menunjukkan komitmen mereka dalam sukan tetapi juga kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kejayaan Sukan SEA 2027.