Jenayah & Mahkamah

Tiga lelaki mengaku salah tuduhan balut bungkusan dengan kertas bercetak tulisan ayat al-Quran

BALIK PULAU – Tiga individu iaitu pengurus, operator percetakan dan pembungkus barangan mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tuduhan dengan sengaja menggunakan balutan yang bercetak dengan tulisan ayat al-Quran, pada 5 Jun lalu.

Tertuduh, Chin Chang Swee, 44; Kanu Anil Sah, 29 dan San Thay Aung, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka dihadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, pada pukul 11.30 pagi, 5 Jun lalu ketika berada di DHL Warehouse Sungai Tiram, Bayan Lepas, dekat sini, mereka didapati dengan sengaja mencapai niat bersama menghantar tiga bungkusan dari pejabat mereka, Advance Cell Coporation Sdn Bhd, Alamat 22A Jalan 12/118B Desa Tun Razak Kuala Lumpur ke Syarikat Top Speed Service, 49C Jalan Batu Jantan, di Ayer Itam Pulau Pinang dengan menggunakan balutan yang bercetak tulisan ayat al-Quran bagi melukakan perasaan keagamaan orang itu.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa peruntukan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan R Lushani dan tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau lima bulan penjara jika gagal bayar denda.

Semua tertuduh kemudian membayar jumlah denda yang dikenakan terhadap mereka.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial memaparkan bungkusan yang dibalut menggunakan kertas bercetak ayat al-Quran.

Bungkusan itu didakwa dihantar oleh sebuah syarikat percetakan di Jalan Tun Razak, Cheras ke Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan kurier.

Show More

Related Articles

Back to top button