BERSATU serah notis kekosongan enam kerusi Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat
PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)hari ini menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikosongkan.
Perkara itu dimaklumkan naib presidennya, Datuk Dr Ronald Kiandee, selepas merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat BERSATU itu terhenti secara serta-merta.
Beliau yang juga Ketua Whip BERSATU berkata, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.
“Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen BERSATU yang terhenti keahliannya secara serta-merta sudah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.
“Bagi pihak parti, semua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen Jeli; Gua Musang; Bukit Gantang; Kuala Kangsar; Tanjong Karang dan Labuan sudah ditandatangani oleh saya selaku Ketua Whip BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Anwar sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Sidang Dewan Rakyat dijadual akan bermula minggu depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik ‘adalah muktamad dan konklusif’.
“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen berkenaan kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya lagi.
Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah sudah mengumumkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang sebelum ini diduduki Mohd Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.