‘Saya tidak terkejut’ – Mohd Azizi
KOTA BHARU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim mengakui tidak terkejut dengan pengumuman Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.
Beliau berkata, perkara berkenaan sudah dijangka selepas mengetahui Mohd Amar akan mengadakan satu sidang akhbar hari ini.
“Saya tidak terkejut kerana saya sudah jangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes ini ke mahkamah.
“Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan,” katanya kepada portal HM Online, sebentar tadi.
Ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Mohd, Amar, Mohd Azizi berkata, keputusan yang dibuat itu hanya berdasarkan notis pemecatannya sebagai ahli BERSATU.
“Kita mempersoal beberapa perkara berhubung notis berkenaan iaitu surat yang dihantar oleh BERSATU sebelum ini hanya memaklumkan hilang keahlian.
“Notis terbabit juga tidak menyentuh soal kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN,” katanya lagi.
Terdahulu, Mohd Amar selaku Speaker DUN Kelantan mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri berkuat kuasa hari ini, dalam satu sidang akhbar.