Berita Semasa

LHDN lancar fasa kedua Program Tadbir Urus Cukai Koporat

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini melancarkan fasa kedua Program Tadbir Urus Cukai Korporat atau Tax Corporate Governance (TCG) bagi menilai organisasi dengan pengurusan percukaian yang baik.

Ia akan diikuti dengan pelancaran penuh program terbabit pada 1 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, melalui fasa kedua itu pihaknya akan melakukan Semakan Keberkesanan terhadap dokumentasi syarikat yang dikemukakan sepanjang tempoh projek rintis itu dijalankan.

“Semakan pada fasa kedua yang dinamakan Semakan Keberkesanan turut dilaksanakan dengan menumpukan ‘substance over form’ bagi memastikan bahawa dokumentasi yang disediakan benar-benar wujud dan dilaksanakan secara berkesan serta berfungsi secara praktikal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Tax Corporate Governance HASIL Dan Pelancaran Program Tax Corporate Governance Fasa Kedua yang diadakan di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut mengadakan upacara penyerahan sijil penyertaan program TCG kepada enam organisasi terbabit dalam projek rintis itu.

Organisasi terbabit termasuk British American Tobacco (M) Berhad; Commercial Marketers & Distributors Sdn Bhd; Tobacco Importers & Manufacturers Sdn Bhd; Petroliam Nasional Berhad (Petronas); Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd; Hong Leong Bank Berhad dan Hong Leong Islamic Bank Berhad.

“Melalui penganugerahan sijil penyertaan program TCG ini juga, diharapkan ianya dapat menjadi inspirasi kepada organisasi pembayar cukai lain bagi meningkatkan kecemerlangan korporat dan komitmen dalam membina budaya amalan tadbir urus sebagai satu norma dan bukan sesuatu yang berbentuk pilihan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button