Kerajaan laksana operasi pembenihan awan atasi penyusutan air Sungai Kelantan
PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun ini susulan permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut akan dilaksanakan secara bersama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
“Operasi selama tiga hari ini adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.
“Malah, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh Kawasan KADA,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, paras air Sungai Kelantan perlu mencapai ketinggian 4.90 meter bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, namun KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu.
“Justeru, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM 5 juta bagi menjayakan Operasi Pembenihan Awan ini.
“Usaha ini diharap dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering, khususnya di Negeri Kelantan,” kata Ahmad Zahid lagi.
Beliau berkata, usaha bersepadu ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.
“Saya juga telah menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil Operasi Pembenihan Awan ini pada 23 Jun 2024 nanti,” katanya lagi.