Berita Semasa

PM China Li Qiang adakan lawatan rasmi ke Malaysia mulai hari ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang, bermula hari ini.

Menurut Wisma Putra, ini merupakan lawatan rasmi pertama Li Qiang ke Malaysia bagi membincangkan hubungan dua hala antara dua negara.

“Kedua-dua pemimpin negara berkenaan juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama.

“Ia termasuklah ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan Li Qiang ke Malaysia hingga Khamis ini adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Tambah Wisma Putra, kedua-dua pemimpin itu juga dijadual menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50, selain Li Qiang juga akan mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Katanya, kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Sebagai rekod, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009 hingga 2023 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).

Show More

Related Articles

Back to top button