Berita Semasa

Pemandu maut Proton Gen2 bertembung bas ekspres

NIBONG TEBAL – Seorang maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan kereta dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 155.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, kejadian berkenaan membabitkan kereta jenis Proton Gen2 yang dinaiki dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun dengan bas ekspres.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap telah dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 pagi.

“Dua mangsa telah tersepit di ruang pemandu dan penumpang. Anggota kemudian menjalankan kerja mengeluarkan mereka berdua dalam kenderaan terbabit.

“Mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi manakala seorang lagi cedera di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa ini, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera pula diberi rawatan lanjut di hospital sama.

Dalam pada itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button