Malaysia ke 10 negara teraman di dunia
PETALING JAYA – Malaysia terpilih sebagai negara ke 10 paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI).
Menurut data yang dikongsikan Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) melalui laman web rasminya, Malaysia memperoleh skor sebanyak 1.427 dalam indeks tersebut.
Tempat pertama dalam ranking tersebut adalah Iceland, diikuti Ireland, Austria, New Zealand, Singapura, Switzerland, Portugal, Denmark dan Slovenia.
Dalam pada itu, GPI 2024 mendapati dunia menjadi kurang aman buat kali ke-12 dalam tempoh 16 tahun yang lalu dengan tahap purata keamanan negara merosot sebanyak 0.56 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan, keamanan bertambah baik melibatkan 65 negara dan merosot dalam 97 negara,” menurut rumusan keputusan GPI 2024.
Bagi negara jiran yang lain pula, Vietnam berada di tangga ke-41 GPI 2024, diikuti oleh Indonesia (48), Laos (49), Kemboja (70) dan Thailand (75).
Untuk rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga ketiga negara paling aman dengan kedudukan pertama ialah New Zealand dan kedua ialah Singapura, manakala tempat keempat ialah Jepun dan kelima Australia.
Berdasarkan data yang dikeluarkan pada tahun lalu, Malaysia antara 20 negara paling aman di dunia dan meraih kedudukan ketiga dalam senarai negara Asia apabila berada di belakang Singapura dan Jepun.