Berita Semasa

1,088 permit sembelihan luar dikeluarkan bagi ibadah korban di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengeluarkan sebanyak 1,088 permit sembelihan luar untuk ibadah korban sempena Aidiladha pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) itu membabitkan untuk 2,233 ekor lembu, 488 ekor kambing dan bebiri serta 56 ekor kerbau.

“Jumlah keseluruhan ini melibatkan tujuh daerah utama iaitu Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Jempol, dan Tampin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Lembu merupakan haiwan ternakan paling popular untuk ibadah korban di Negeri Sembilan, merangkumi 80 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala kambing dan bebiri sebanyak 18 peratus dan kerbau sebanyak 2 peratus,” tambahnya.

Katanya, ibadah korban yang dianjurkan setiap tahun di masjid dan surau menunjukkan kemakmuran masyarakat dari segi ekonomi dan pematuhan kepada syariat Islam.

Dalam pada itu, proses penyembelihan bukan sahaja dijalankan di masjid dan surau, tetapi juga di lokasi-lokasi lain seperti tempat awam, kawasan persendirian, dan rumah sembelihan.

Sehubungan itu Jalaluddin menegaskan, ibadah korban bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, namun aspek keselamatan makanan tidak boleh diabaikan.

Beliau menasihatkan agar semua penganjur ibadah korban agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pejabat Agama Daerah dan pihak keselamatan.

“Pematuhan kepada peraturan ini diharap dapat menjamin kelancaran ibadah korban serta keselamatan makanan untuk masyarakat, insya-Allah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button