Sukan

‘Selepas ini mungkin saya perlu berubah jadi sombong’ – luah Faisal Halim

SHAH ALAM – ‘Selepas ini mungkin saya perlu berubah jadi sombong jika itu yang terbaik buat saya,’ luah Faisal Halim yang masih sedih dengan insiden simbahan asid terhadapnya pada bulan lalu.

Pemain Selangor FC itu yang tampil pertama kali dikhalayak berkata, dia hairan dengan insiden yang menimpanya itu kerana tidak mempunyai masalah dengan orang lain dan sentiasa bertegur sapa walaupun dengan orang yang tidak dikenali.

“Saya tak pernah sombong, dengan semua orang selalu tegur, ceria dalam pasukan gembirakan pasukan. Mungkin saya rasa dan lepas ini perlu berubah jadi sombong jika itu terbaik untuk saya sebab saya tak tahu ada musuh atau tidak.

“Saya tak pernah buat masalah dengan orang, saya tak tahu ke depan ini perlu ubah karakter atau kekal, apa pun saya nak sihat dan bermain bola sepak,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, di sini hari ini.

Faisal yang berpakaian kemeja lengan pendek Selangor FC ditemani Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar

Dalam pada itu, pemain skuad kebangsaan itu berkata, pada mulanya dia terfikir untuk bersara sepenuhnya daripada sukan tersebut selepas insiden itu.

Malah katanya, dia juga sanggup kehilangan gaji puluhan ribu ringgit semata-mata mahukan keselamatan dirinya, isteri, anak dan keluarga terpelihara.

“Pada mulanya pada minggu kedua selepas insiden serangan, saya cakap pada datuk seri, saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu dan berhenti bermain bola asalkan saya dan keluarga selamat. Saya cakap pada isteri, keluarga dan abang-abang yang saya sanggup hilang gaji untuk hidup tenang walaupun dengan gaji RM50 sehari.

“Dan saya tak mahu hidup dalam ketakutan sebab yang jadi pada saya di luar jangkaan dan tak boleh diterima. Keluarga saya semua dalam ketakutan tapi apa yang datuk janjikan pada saya Mickey saya tahu awak mampu teruskan saya jamin keselamatan awak dan keluarga. Sejak itu saya mula bersemangat untuk bermain bola balik,” katanya dalam nada sebak.

Show More

Related Articles

Back to top button