PM harap isu air, sempadan maritim Malaysia-Singapura dapat diselesaikan segera
KUALA LUMPUR – Isu tertangguh seperti perjanjian air dan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura diharapkan dapat diselesaikan secara baik sebelum Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hujung tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya memberi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, bahawa Malaysia akan mempercepatkan proses berkenaan, sekali gus ia akan memberi manfaat buat rakyat kedua-dua negara.
“Saya beri jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa saya akan pastikan pegawai kita akan bekerja dengan lebih pantas. Bagus jika kita dapat selesaikan sebelum mesyuarat dua hala menjelang akhir tahun ini.
“Kalau kita boleh selesaikan esok, minggu depan kami akan menjemput Wong untuk datang ke Malaysia tapi ia mungkin ambil masa,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya, Lawrence di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini sempena lawatan kerja sulung beliau ke Malaysia.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Lawrence berkata, pihaknya bersedia untuk melawat Malaysia pada bila-bila masa bagi menyelesaikan isu tertunggak yang dibangkitkan oleh Anwar itu.
“Kami berharap sekurang-kurangnya walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya isu tertunggak, akan ada kemajuan yang sangat baik ketika Sesi Pemukiman Pemimpin akan datang,” harapnya,