Berita Semasa

Satu kematian baharu akibat rabies direkodkan di Sarawak

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumlam satu kes kematian baharu telah direkodkan akibat wabak rabies dilaporkan di Hospital Umum Sarawak pada 5 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Veronica Lugah berkata, ia menjadikan kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak kepada 79 kes dengan 72 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.

“Daripada 79 kes ini, empat kes dikesan tahun ini dan semua mangsa meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan rabies,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabies atau penyakit anjing gila adalah penyakit sistem saraf oleh jangkitan virus yang merebak melalui gigitan haiwan, dengan pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda selepas 20 hingga 60 hari selepas gigitan haiwan.

Menurut Dr Veronica, satu daripada empat kes berkenaan mendapat jangkitan melalui gigitan anjing liar, manakala tiga lagi melalui haiwan peliharaan mereka sendiri.

“Semua haiwan peliharaan itu tidak menerima vaksinasi antirabies serta bebas bercampur dengan haiwan liar.

“Antara tiga kes terdedah kepada haiwan peliharaan sendiri, semuanya memelihara kucing manakala salah satu kes turut membela anjing di rumah,” katanya lagi.

Tambah Dr. Veronica, semua kes juga tidak mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar haiwan.

“Sejak 2017 hingga Minggu Epid (ME) ke-22 tahun ini (26 Mei hingga 1 Jun), terdapat 56,023 kes gigitan anjing, 47,258 kes gigitan atau cakaran kucing dan 1,577 gigitan lain-lain haiwan dilaporkan.

“Jabatan Kesihatan negeri ingin mengingatkan orang ramai bahawa manusia boleh mendapat jangkitan rabies bukan sahaja melalui anjing, tetapi juga kucing yang dijangkiti rabies,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button