Berita Semasa

2 maut keracunan makanan

GOMBAK – Seorang remaja berusia 17 tahun dan budak perempuan dua tahun maut, dipercayai keracunan makanan yang disediakan di sebuah sekolah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

“Jam 1.30 petang semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

Katanya, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya pada jam 10.45 malam semalam.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut

Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901, atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad 0142389151.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja maut selepas dipercayai memakan tiga biji telur yang dibawa pulang oleh ibunya daripada satu program di sekolah.

Show More

Related Articles

Back to top button