TPM tidak puas hati tahap guna pakai Taman Perindustrian Halal Malaysia hanya 11 peratus
SEPANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tahap guna pakai dan pembangunan 14 buah Taman Industri Halal HALMAS (Halal Park) di seluruh negara yang hanya mencecah 11 peratus sejak 2009.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, tahap peratusan tersebut amat rendah jika dibandingkan dengan 5,665.6 hektar yang diperuntukkan bagi tujuan industri itu.
“Kerajaan negeri yang peruntukan kira-kira 13,000 ekar (5,665.6 hektar) tanah untuk membangunkan industri halal tetapi hanya 11 peratus sahaja dibangunkan.
“Ertinya kerajaan negeri komited untuk penyediaan industri halal tetapi mungkin di sana terdapat beberapa kekangan dari segi pembangunan khususnya daripada syarikat pengeluar halal itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi mengenal pasti masalah dihadapi oleh setiap kerajaan negeri, mesyuarat bersetuju sebuah pasukan petugas diwujudkan.
“Pasukan petugas itu akan mengadakan mesyuarat pertama dua minggu lagi bagi mencari jalan penyelesaian serta mengatasi kekangan yang ada.
“Kerajaan negeri komited menyediakan industri halal di taman halal itu tapi mungkin terdapat beberapa kekangan termasuk insentif yang tidak mencukupi,” katanya lagi.
Sebagai rekod, ketika ini pasaran halal dunia bernilai AS$3 trilion dengan anggaran kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara adalah sebanyak 7.5 peratus pada tahun 2023.