Berita Semasa

Helikopter kombat, Malaysia belum buat keputusan

ANKARA – Keputusan untuk Malaysia memiliki helikopter kombat masih belum dimuktamadkan walaupun ada keperluan untuk negara memiliki aset pertahanan itu

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan kajian Kertas Putih Pertahanan, negara pada ketika ini sememangnya memerlukan pesawat itu tetapi kemampuannya sedang dipertimbangkan.

“Memang kalau lihat kepada kajian Kertas Putih Pertahanan, negara memerlukan helikopter kombat, bukan hanya helikopter yang mengangkut barang dan juga anggota tetapi ianya mengikut kemampuan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian selepas membuat lawatan industri di Turkish Aerospace Industries.

Beliau yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Turkiye sejak semalam menyeru syarikat luar pembekal aset ketenteraan supaya bersama-sama membantu negara membangungkan industri pertahanan.

Usaha itu katanya dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada negara luar secara total.

“Ini antara usaha kita lakukan.Kita akan buat pembelian aset ketenteraan, tetapi kita tidak mahu ia berakhir dengan pembelian saja. Mana-mana syarikat yang akan dinamakan nanti, mereka perlu ada ‘roadmap’ dan ‘milestone’.

“Kementerian Pertahanan akan ukur sama ada berbaloi dan benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan teknologi pertahanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Turki antara negara sedia bekerjasama dan membantu Malaysia dalam soal membangunkan industri pertahanan tempatan.

“Kita dapat lihat kemampuan Turki kerana mereka berjaya menjual aset pertahanan buatan mereka kepada beberapa negara lain. Maknanya, mereka setanding negara pengeluar teknologi pertahanan dunia.

“Kelebihan Turki kerana mereka sanggup berkongsi serta memindahkan teknologi pertahanan kepada negara kita, manakala pendekatan kita tidak semestinya mengeluarkan produk ataupun peralatan lengkap kerana kita boleh main peranan menjadi pembekal kepada komponen produk berkenaan.” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button