Berita Semasa

KPM akan bantu mangsa kemalangan bas rombongan guru

BERTAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menghulurkan bantuan kepada semua mangsa kemalangan melibatkan rombongan guru SK Jeram Masjid Tanah, Melaka, awal pagi tadi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya akan memastikan kebajikan para guru yang terlibat terpelihara.

“Diperingkat KPM, kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh kejadian dan dalam masa sama kita juga akan menjaga kebajikan guru-guru yang sebahagiannya berada di hospital untuk rawatan,” katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 peringkat Pulau Pinang di Bertam Resort and Waterpark, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya juga akan mengarahkan pasukan kaunselor untuk turun ke sekolah terbabit bagi memberi sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan juga murid-murid yang kehilangan guru mereka dalam kejadian ini.

“Saya rakamkan ucapan takziah kepad keluarga guru-guru yang terlibat dan kita rasa sangat dukacita atas kejadian ini,” katanya lagi.

Dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, pagi tadi, dua individu iaitu seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan,48, dan pemandu kedua bas, Mohd Adi Hasan, 29, dilaporkan terbunuh.

Mangsa ketiga yang terbunuh adalah guru, Hamzah Ahmad,60, yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika bas membawa 37 penumpang, seorang pemandu dan seorang pemandu kedua dalam perjalanan ke Terengganu terlibat kemalangan dengan sebuah treler sebelum terjunam ke bawah cerun.

Show More

Related Articles

Back to top button