Uruguay pelawa Malaysia import daging halal
PUTRAJAYA – Uruguay mempelawa Malaysia untuk meneroka sumber baharu bagi pengimportan daging halal di negara Amerika Selatan itu.
Perkara ini dibincangkan sewaktu kunjungan hormat daripada Menteri Ternakan, Pertanian dan Perikanan, Uruguay, Fernando Mattos ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini semalam.
Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan, dalam perbincangan itu, Mattos memaklumkan bahawa daging merupakan eksport terbesar Uruguay diikuti selulosa, gandum, kacang soya dan beras.
“Sebagai salah satu negara pengeksport daging terbesar dunia, Uruguay melihat Malaysia sebagai rakan dagang yang penting dan berpotensi bagi pasaran daging halal. Uruguay turut menawarkan kepada Malaysia peluang untuk meluaskan rangkaian negara sumber bagi daging halal import.
“Menteri menyambut baik cadangan tersebut berdasarkan keperluan negara untuk mempelbagaikan sumber import bagi menjamin bekalan makanan negara. Industri ternakan ruminan yang besar dengan keupayaan kilang dan teknologi pemprosesan yang kompeten adalah antara kelebihan bagi Uruguay yang pastinya berpotensi untuk menjadi pengeksport daging lembu berkualiti yang utama ke Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia dan Uruguay akan meningkatkan lagi usahasama dalam aspek keterjaminan makanan termasuk memperkasa lagi isu-isu halal, fitosanitari dan keselamatan makanan.
Pada masa sama katanya, Uruguay turut menyatakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan daging lembu ke rantau ini, selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadikan negara sebagai gerbang perdagangan kepada negara-negara ASEAN.
“Menteri turut memohon kerjasama pihak Uruguay untuk membekalkan maklumat mengenai keperluan import bagi produk-produk nilai tambah dari Malaysia untuk memasuki pasaran Uruguay, seperti produk berasaskan haiwan, liquid egg, makanan haiwan dan vaksin haiwan serta mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Sementara itu, katanya, Mohamad turut menjemput Mattos ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September ini.
Beliau turut mempelawa penyertaan pihak Uruguay dalam acara dwi tahunan tersebut.