Ustaz Don direhatkan daripada rancangan Salam Baitullah di RTM
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan daripada bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) susulan pertikaian berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menerusi ciapan di laman sosial X, hari ini.
“Untuk meredakan keadaan, I have asked the team to rehatkan dulu Ustaz Don dari Salam Baitullah.
“Don’t ask me about what I think or feel. Numbed,” ciapnya.
Sebelum ini Don Daniyal dikritik oleh ekoran dakwaannya Nabi Muhammad SAW pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah dalam semasa bersiaran di sebuah stesen radio.
Susulan dakwaam itu, semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui.
Justeru, orang ramai tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda.
Ia mesti didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian lebih-lebih lagi perkara yang membabitkan soal hati dan perasaan seseorang.
Terdahulu, Suhaimi memberitahu tugas Don Daniyal dalam Salam Baitullah adalah sebagai perantara dan bukan penganalisis atau penceramah malah sudah dinasihatkan untuk tidak mengundang kontroversi.
Katanya, pimpinan tertinggi pengarang juga ada di lokasi bagi menentukan semua perantara mengikut skrip.
Salam Baitullah adalah sebuah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun.