Berita Semasa

Suspek larikan kereta ditahan polis

KUANTAN – Suspek yang melarikan kereta di sebuah stesen minyak di Semambu berjaya ditahan polis di sebuah rumah dekat Kampung Cinta Manis di sini, pukul 12.45 tengah malam, tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek yang diberkas oleh polis sempat tidur di rumah yang didiami suami isteri dan tiga orang anak dalam kira-kira tiga jam sebelum pihaknya tiba untuk menahan lelaki tersebut.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dalam sidang media di Kuantan.

“Pada pukul 10 malam, suspek telah menceroboh masuk sebuah kediaman yang didiami oleh lima beranak untuk tumpang tidur.

“Pemilik rumah yang curiga telah menghubungi pihak polis. Anggota polis tiba di lokasi dan mendapati suspek sedang tidur di dalam rumah sebelum menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, pemilik rumah berkenaan mendakwa tidak mengenali suspek dan telah disuruh untuk mengunci diri di dalam bilik.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah menukar nombor pendaftaran kereta Honda City berkenaan dengan nombor palsu sebelum meninggalkannya di Pekan Karak,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, siasatan mendapati motosikal yang digunakan suspek di stesen minyak berkenaan adalah motosikal yang dicuri di Kuantan.

Katanya, suspek meninggalkan motorsikal tersebut sebelum melarikan sebuah kereta jenis Honda City milik seorang warga emas wanita yang tular baru-baru ini.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan narkotik dan jenayah. Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958,” jelasnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button