JAKIM bakal lancar pelan tindakan agensi agama OKU muslim tahun ini
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal melancarkan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia merupakan usaha yang melibatkan agensi-agensi agama khususnya dalam menyantuni golongan OKU muslim.
“JAKIM telah pun melakukan usaha-usaha awal untuk menyokong dasar OKU. Malaysia sedang membangunkan pelan tindakan agensi agama berkenaan OKU.
“Insya-Allah dimaklumkan tadi pada bahagian dasar bahawa kita akan lancarkan pada tahun ini. Maka setelah kita lancarkan dan sekarang ini pun telah dilakukan, ia akan lebih berstruktur, sistematik dan lebih berimpak,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sesi Ramah Mesra bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU Muslim dan Pusat OKU Universiti Awam yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya, di sini.
Majlis anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu membincangkan kerjasama dan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menyantuni golongan OKU selain memastikan mereka mendapat capaian ilmu serta perkara asas lain.
Kata Zulkifli, majlis tersebut melibatkan NGO OKU Muslim, pusat OKU universiti awam, rakan media dan agensi-agensi agama lain di mana mereka menyuarakan pendangan dan perkembangan usaha mereka berkaitan topik itu.
Antara perkara yang diketengahkan adalah masalah capaian ilmu agama kepada OKU, masalah kemudahan persekitaran bagi OKU, perbincangan pengagihan dana kepada NGO berkaitan dan persefahaman untuk bekerjasama antara pihak-pihak terbabit.
Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan satu bengkel khas untuk memurnikan pandangan-pandangan dan idea dari majlis itu.
“Bengkel itu akan memurnikan modul dan bahan serta inisiatif untuk kita bantu OKU khususnya pada akses mereka untuk mendalami pengajian Al-Quran dan agama.
“Ia perlu dirangka berdasarkan keperluan-keperluan mengikut perbezaan kelainan upaya itu sendiri,” ujarnya.