Polis tahan lelaki warga Indonesia rakam video wanita dalam tandas
MELAKA – Polis menahan seorang warga Indonesia kerana merakam video pelancong wanita di dalam tandas sebuah kedai biskut di pusat bandar raya, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata, dalam kejadian pada jam 4.15 petang itu, perbuatan suspek yang bekerja sebagai tukang cuci terbongkar selepas seorang wanita ternampak telefon bimbit pada lubang dinding tandas di sebelah kiri ketika dia hendak memakai seluar.
Katanya, akibat terkejut, mangsa berusia 24 tahun berasal dari Klang, Selangor itu kemudian terus mencapai paip air lalu menyiram ke arah tangan yang memegang telefon bimbit itu dan bergegas keluar dari tandas kerana ketakutan.
“Sejurus selepas itu, mangsa memberitahu kawan lelakinya dan kemudian membuat aduan kepada pengurus kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainol berkata, pengurus kedai itu kemudian memeriksa telefon bimbit pekerja warga Indonesia dikenali sebagai ‘Feri’ dan mendapati ada beberapa video wanita di dalam tandas.
Bertindak atas laporan, polis kemudian menahan suspek pada jam 8 malam dan hasil saringan ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Suspek direman empat hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/14Akta Kesalahan Kecil.