Berita Semasa

50,000 e-Baucar Buku pelajar IPT habis ditebus

Penebusan fasa berikutnya akan diumumkan kelak

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa 50,000 e-Baucar Buku kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) telah habis ditebus, petang ini.

KPT turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menebus baucar berkenaan.

“Selepas lapan jam permohonan e-baucar mula dibuka, sebanyak 50,000 e-baucar berjaya ditebus sepenuhnya pada pukul 6.00 petang tadi.

“Susulan itu, permohonan bagi fasa pertama ditutup,” kata KPT dalam satu kenyataan yang dimuat naik di semua akaun media sosialnya, sebentar tadi.

KPT dalam hantaran sama turut memaklumkan, penyaluran baucar buku selebihnya akan dibuat pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

“Penyaluran bagi fasa pertama ini adalah sebagai usaha KPT untuk menyokong penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2024) dengan pembelian buku dibuat di platform BookCapital (kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga penganjur bersama PBAKL 2024),” katanya lagi.

Pemberian e-baucar bernilai RM100 setiap satu ini akan memanfaatkan lebih 1.2 juta pelajar IPT di bawah kelolaan KPT.

Show More

Related Articles

Back to top button