Kolam Arowana pecah, penternak rugi jutaan ringgit
SIMPANG RENGGAM – Seorang penternak ikan Kelisa atau Arowana di mukim Layang dekat sini mendakwa kerugian jutaan ringgit apabila kolam ternakan ikan hiasannya pecah semalam.
Penternak komersial, Ng Ah Phau berkata, lebih 15,000 ekor Arowana miliknya terlepas selepas kolam ternakan yang diusahakan sejak 30 tahun lalu pecah.
Susulan kejadian itu, Ah Phau telah membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam petang semalam bagi membolehkan polis melakukan siasatan sekiranya kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Menurut Ah Phau, setiap seekor ikan hiasan yang bersisik warna emas dan perak itu mempunyai harga mencecah ribuan ringgit dan dipasarkan ke Singapura, Jepun, Britain dan Australia.
Sementara itu, video kejadian kolam pecah itu tular di media semalam apabila penduduk di sekitar Layang-Layang dan Simpang Renggam ‘berpesta’ menangkap ikan tersebut.
Beberapa orang penduduk yang menggunakan jala dan penyauk dilihat dengan mudah menangkap ikan-ikan di limpahan air sungai di kawasan ladang kelapa sawit.
Sebahagian daripada ikan-ikan dianggarkan seberat 2 hingga 3 kilogram itu juga dilihat berenang di dalam aliran parit.
Turut tersebar gambar berpuluh-puluh ekor ikan berkenaan diisi di dalam tong dan ada juga yang berkongsi gambar ikan yang telah dimasak.