Luar Negara

Sepanyol, Ireland dan Norway iktiraf Palestin sebagai sebuah negara

MADRID – Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, meskipun Israel menyelar tindakan itu selepas hampir tujuh bulan perang yang meragut puluhan ribu nyawa di Gaza masih belum tamat sehingga ke hari ini.

Ketiga-tiga negara Eropah itu percaya langkah mereka mempunyai kesan simbolik yang kuat, sekali gus mampu memberi galakkan kepada pihak lain untuk mengikutinya.

Norway dan Sepanyol pernah melakar peranan bersejarah dalam membangunkan usaha damai Israel-Palestin pada 1991, apabila kedua-dua pihak duduk bersama buat kali pertama dalam persidangan damai Madrid yang membuka jalan kepada Perjanjian Oslo 1993.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata pengiktirafan terhadap Palestin sebagai sebuah negara bukan berkait soalan keadilan bersejarah semata-mata.

“Ia juga keperluan penting jika kita semua ini mencapai keamanan.

“Ia adalah satu-satunya cara untuk bergerak ke arah penyelesaian yang kita semua akui sebagai satu-satunya cara yang mungkin untuk mencapai masa depan yang aman iaitu sebuah negara Palestin yang hidup berdampingan dengan Israel dalam keadaan aman dan selamat,” katanya memetik laporan Reuters.

Selepas Sepanyol, Ireland dan Norway, bermakna sebanyak 145 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, kata Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares.

Pihak Berkuasa Palestin, yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat di bawah pendudukan tentera Israel, mengalu-alukan keputusan itu.

Sanchez berkata, Madrid tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan kepada sempadan sebelum 1967 melainkan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Jabatan Hal Ehwal Luar Ireland berkata, minggu lalu ia akan menaik taraf pejabat perwakilannya di Ramallah di Tebing Barat kepada sebuah kedutaan, melantik seorang duta dan menaik taraf status misi Palestin di Ireland kepada sebuah kedutaan.

Bagaimanapun, Sanchez berkata, keputusan itu mencerminkan penolakan Sepanyol terhadap Hamas yang jelas bertentangan dengan penyelesaian dua negara.

Kabinet Sepanyol dan Ireland mengadakan pertemuan untuk meluluskan langkah pengiktirafan itu semalam diikuti Norway.

Pertumpahan darah yang semakin getir di Gaza menghidupkan semula seruan agar Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara, dengan semakin banyak negara Eropah menyatakan hasrat berbuat demikian.

Show More

Related Articles

Back to top button