Perhebat perlu lebih proaktif, inovatif bantu pesara ATM terokai kerjaya kedua
SUNGAI BULOH – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) perlu
lebih proaktif dan inovatif dalam usaha bagi memastikan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kerjaya kedua.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, lebih 93 peratus bakal pesara memilih untuk mengikuti latihan bersama perhebat, berbanding hanya kira-kira 42 peratus sebelum ini.
Walaubagaimanapun kata beliau, Perhebat perlu meneliti dan memberi perhatian untuk memahami dengan lebih mendalam situasi dan faktor mengapa kira-kira 40 peratus veteran masih sedang dalam proses mencari pekerjaan.
“Masih banyak lagi ruang pengukuhan dan pemantapan yang perlu sama-sama kita usahakan. Kita tidak boleh mudah berpuas hati. Perhebat mesti bergerak secara lebih radikal, progresif dan inovatif.
“Selain meneruskan segala semakan dan kerjasama yang ada dengan pelbagai agensi, GLC dan pihak yang berkepentingan, Perhebat mesti proaktif memeta kerjasama dan pendekatan baharu yang boleh memberikan manfaat kepada para pelatih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat di Kem Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, seramai 209 anggota veteran ATM menerima Diploma Kemahiran Malaysia manakala 338 lagi menerima Sijil Latihan Peralihan.
Tambah Khaled, antara pendekatan yang boleh diambil Perhebat termasuklah dengan menetapkan secara jelas dan strategik apakah bidang atau sektor kompetitif yang ingin diterokai.
Jelas beliau, bidang-bidang atau sektor yang dikenal pasti tersebut boleh dikongsikan dengan pihak kementerian untuk dijadikan asas dalam merundingkan bentuk dan corak Industrial Collaboration Program (ICP) atau offset program dengan pelbagai pihak industri dan pembekal yang mempunyai obligasi kontrak dengan ATM atau MINDEF.
“Pendekatan sebegini bukan sahaja akan membuka ruang dan peluang yang lebih bermakna kepada bakal pesara dan veteran ATM, sebaliknya menjadi satu amalan yang memberi nilai tambah penting kepada ekosistem pertahanan negara kita.
“Malah, adalah munasabah untuk kita mengharapkan PERHEBAT mengambil pendekatan mengenal pasti pihak industri dan melakukan pelbagai usaha padanan pekerjaan atau jobs matching secara berkesan dan meluas. Mungkin kita boleh mulakan dengan anak-anak syarikat di bawah LTAT.
“Perkara ini sudah pasti akan menjadi cara terbaik untuk kita menghubungkan secara terus golongan veteran dan bakal pesara ATM dengan pekerjaan yang berkualiti,” ujarnya lagi.