Laporan akhir nahas helikopter TLDM dikeluarkan paling lewat minggu hadapan
SUNGAI BULOH – Laporan akhir membabitkan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya minggu hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya kini masih dalam proses untuk memuktamadkan laporan akhir nahas itu.
“Tidak lama lagi kita akan keluarkan. Mungkin paling akhir minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat di Kem Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Pada 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas dua pesawat itu bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Terdahulu, Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut mendedahkan lima fakta dalam laporan awal dikeluarkan berhubung tragedi itu.
Menurut Lembaga Siasatan, semua kru terbabit dalam insiden itu berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Selain itu, kedua-dua helikopter itu juga disahkan dalam keadaan ‘airworthy’ (selamat untuk terbang) pada hari kejadian, dengan pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu.