Berita Semasa

Polis siasat video kecam teks khutbah Jumaat

IPOH – Polis sedang menyiasat penularan sebuah video yang mengecam teks khutbah Jumaat di Perak yang menyentuh isu boikot.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun semalam yang tidak berpuas hati dengan video yang dimuat naik di TikTok.

“Daripada keterangan diberikan, lelaki terbabit menyifatkan ulasan dalam video tersebut boleh mengganggu gugat ketenteraman awam khususnya umat Islam di Perak.

“Video itu juga dikatakan seakan mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan institusi Jabatan Mufti,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati, video berdurasi 1 minit dan 34 saat itu dimuat naik pemilik akaun ‘Ustaz Nur’ yang mempunyai lebih 18,000 pengikut.

Katanya, kandungan video tersebut merupakan ulasan berkenaan isu boikot semasa khutbah Jumaat pada 24 Mei lepas.

“Hanya satu laporan diterima polis setakat ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan sensitif dalam berkongsi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya lagi.

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang mengenakan pakaian uniform sebuah pasukan kebajikan sukarela parti dirakam meminta khatib atau pembaca khutbah serta imam bertugas supaya tidak membaca perenggan yang menyentuh perihal boikot.

Lelaki terbabit membuat dakwaan bahawa terdapat ‘tangan-tangan’ yang memaksa untuk teks khutbah itu dikeluarkan dan dibacakan.

Laporan akhbar kelmarin menyebut teks rasmi khutbah yang dibacakan di masjid dan surau tersebut menyeru umat Islam menghentikan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu.

Teks khutbah tersebut turut menyatakan bahawa tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan, Jabatan Mufti Perak akan tampil memberi penjelasan lanjut berhubung teks Khutbah tersebut.

Penjelasan itu bagi memastikan pengisian dan mesej sebenar dalam teks khutbah berkenaan dapat difahami orang ramai terutama umat Islam.

Show More

Related Articles

Back to top button