Sistem MyInvois menerusi API dibuka hari ini
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membuka persekitaran produksi (production environment) Sistem MyInvois menerusi Application Programming Interface (API) hari ini.
Menurut LHDN, usaha tersebut adalah bagi membolehkan syarikat rintis (pilot company) e-Invois mengeluarkan e-Invois menggunakan data sebenar perniagaan mereka.
“Pelancaran ini menunjukkan kemajuan terkini ke arah pelaksanaan mandatori e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024.
“Oleh itu, syarikat rintis e-Invois boleh mula mengakses kepada persekitaran produksi API Sistem MyInvois setelah memohon Client ID dan Client Secret bagi persekitaran produksi daripada pihak LHDN menerusi e-mel sdkmyinvois@hasil.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, akses kepada persekitaran produksi itu juga membolehkan API di persekitaran itu menawarkan fungsi utama seperti log masuk, validasi, penghantaran dan pembatalan dokumen.
Pada masa ini, proses pengesahan tandatangan digital tidak diaktifkan buat sementara waktu hingga dimaklumkan bagi memastikan proses peralihan yang lancar ke atas penghantaran e-Invois menerusi persekitaran produksi API itu.
LHDN kekal komited memastikan kelancaran pelaksanaan e-Invois terutama dalam tempoh peralihan ini.
Sehubungan itu, LHDN turut menggalakkan syarikat rintis e-Invois untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang itu dan mengakses persekitaran produksi dengan lebih awal.
Maklumat tambahan termasuk garis panduan umum, garis panduan spesifik serta soalan lazim boleh diakses di platform pautan e-Invois menerusi portal rasmi LHDN.