Sukan

Kelantan FC tarik diri daripada sertai Liga A1 semi-pro

KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan FC menarik diri daripada menyertai Liga A1 Semi-Pro di bawah Pertandingan MBSB Bank Championship 2024.

Menurut Presiden TRW Kelantan, keputusan ini dibuat setelah beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan.

“Selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes FIFA bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC.

“Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru. Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, Kelantan FC turut memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan.

“Kelantan FC juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super Musim 2023 serta tidak menyertai Liga pada musim baru ini.

“Tanggungjawab dan niat pasukan adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu dengan segera sebelum Kelantan FC kembali menyertai liga bola sepak pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kelantan FC komited untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dan akan membawa semula pasukan Kelantan FC di dalam liga pada musim akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button