Polis buru suspek pandu MPV rompak rumah Ahmad Khuzaimi Piee
KUALA LUMPUR – Dua suspek yang memecah masuk rumah pemain bola sepak Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee malam tadi sedang diburu polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mempercayai dua suspek yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bewarna putih terlibat dalam kejadian itu.
“Salah seorang daripadanya melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha 15R milik mangsa manakala seorang lagi memandu MPV berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh Ahmad Khuzaimi pada pukul 11.30 malam selepas menyedari rumahnya dipecah masuk pada pukul 9 malam.
“Semasa kejadian, mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam laporan polis yang dimuat naik di media sosial, pemain berusia 31 tahun itu mengaku kehilangan sebuah motosikal serta empat beg pelbagai jenama dan pasport.
Sehubungan itu Mohd Iqbal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071 bagi membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kejadian yang menimpa pemain pertahanan kebangsaan itu merupakan insiden yang keempat menimpa pemain bola sepak lain.
Sebelum ini, pemain Terengganu, Akhyar Rashid dipukul dan disamun diikuti pemain Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah asid.
Beberapa hari kemudian, kenderaan yang dipandu pemain JDT, Safiq Rahim pula dipecahkan oleh penyerang yang tidak dikenali menggunakan tukul.