Insiden SIA, 16 rakyat Malaysia terlibat
SINGAPURA – Seramai 16 rakyat Malaysia merupakan antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, petang semalam.
Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) di dalam penerbangan itu.
SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara secara tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, iaitu kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.
Ini memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER tersebut ke Bangkok.
Dalam insiden itu, seorang penumpang berusia 76 tahun dari United Kingdom (UK) meninggal dunia.
Seramai 18 penumpang telah dimasukkan ke hospital, diikuti 12 lagi dirawat sebagai pesakit luar, manakala penumpang dan kru yang lain diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
“SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini,” kata syaraikat penerbangan itu dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, malam tadi.
Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi hotline Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom).