143 penumpang, kru pesawat SIA yang terlibat dalam gelora udara tiba di Singapura
SINGAPURA – Sebanyak 131 penumpang dan 12 kru pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi semalam, tiba di di sini dengan penerbangan gantian pada 5.05 pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, seramai 79 penumpang dan enam kru masih berada di Bangkok, termasuk mereka yang cedera yang sedang menerima rawatan perubatan serta keluarga mereka.
“Singapore Airlines akan terus memberikan semua sokongan yang mungkin kepada mereka. Singapore Airlines sentiasa di sini untuk membantu dan menyokong anda dalam masa sukar ini,” katanya dalam mesej video yang dimuat naik di Facebook.
Sementara itu, Choon Phong berkata, syarikat penerbangan itu bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam siasatan.
Penerbangan dengan 211 penumpang dan 18 kru itu dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan, Selasa.
Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera.
Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn sebelum ini berkata, mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun.